Last Updated: 16/05/2019 - 9:21 AM

Search Gegar Johor Bahru

BAGAI sirih pulang ke gagang. Barangkali itu perumpamaan yang tepat untuk menggambarkan keterujaan kumpulan lagenda rock tanah air, Search yang bakal mengadakan konsert di negeri kelahiran mereka, Johor Bahru tidak lama lagi.

Konsert Panggung Khalayan Search dijadualkan berlangsung di Kompleks Sukan EduCity, Nusajaya, Johor pada 24 Oktober depan, pukul 8 malam.

Menurut vokalis kumpulan itu, Amy, kesempatan mengadakan konsert di Johor sebenarnya untuk memberi peluang kepada warga negeri itu yang tidak berpeluang menonton persembahan mereka sempena Konsert Search: Live In Istana Budaya 2014 hujung tahun lalu.

“Konsep dan hampir keseluruhan elemen yang digunakan ketika menjayakan konsert di Istana Budaya pada tahun lepas akan dibawa keluar untuk semua warga Johor. Kalau ada yang berubah pun, mungkin tidak banyak seperti lagu-lagu yang dibawa.

“Kami rasa ini adalah kesempatan terbaik untuk memberi peluang kepada khususnya warga Johor bagi menonton persembahan Search. Hal ini kerana ketika konsert di Istana Budaya dahulu, tidak ramai yang berpeluang datang,” ujar Amy ketika ditemui usai majlis pelancaran konsert berkenaan di Menara Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah teruja, ibarat pulang ke kampung, Search berharap agar kesempatan melakukan konsert di Johor akan melunaskan hajat ramai peminat mereka di sana.

“Hajat untuk membawa keluar konsert di Istana Budaya sudah lama terbit daripada kepala saya. Tambahan pula, peminat selalu bertanya bila mahu buat konsert lagi.

“Selepas pihak Universal Music memberi tawaran untuk mengadakan konsert ini, kami tidak berfikir panjang. Kami sangat teruja, selain dapat balik kampung, kami sangat berharap agar konsert ini mampu menarik penonton dari Singapura dan Indonesia untuk sama-sama menyaksikan persembahan bertenaga daripada kami.

“Apatah lagi kapasiti ruang di Istana Budaya begitu terhad. Tidak seperti di Kompleks Sukan EduCity, stadium di sana mampu memuatkan seramai 10,000 penonton dalam satu-satu masa. Dengan ini diharapkan lebih ramai peminat berpeluang menonton persembahan kami di sana,” ujar Amy ceria.

Tiket bagi konsert tersebut sudah dijual bermula 7 Ogos lalu menerusi lama web Tiket Hotline, http://www.tickethotline.com.my.

Tiket juga boleh didapati di empat cawangan kedai muzik Rock Corner di The Curve, Subang Parade, The Gardens dan Bangsar Village.

Harga tiket dijual bermula serendah RM66 untuk tempat duduk biasa, manakala bagi tempat duduk VIP dijual pada harga RM756 bagi 100 penonton terawal. Ia turut merangkumi pakej makanan dan minuman serta sesi beramah mesra bersama kumpulan itu selepas konsert.

Kebajikan Yazit

Ditanya adakah ketika konsert itu peminat dapat melihat kelibat Yazit untuk mengetuk drum, Search tidak menjanjikan jawapan. Bagi mereka, semuanya terpulang kepada keadaan kesihatan Yazit. Andai keadaan mengizinkan, mungkin Yazit dibenarkan untuk membuat persembahan bersama.

“Kami sangat risau dan faham keadaan dia. Kalau boleh, kami mahu dia ada bersama ketika persembahan, tetapi kami lebih mementingkan tahap kesihatannya buat masa sekarang.

“Lagi pula setiap kali persembahan, kami memerlukan energi yang cukup kuat. Biarlah keadaan yang menentukan sama ada Yazit akan turut serta dalam konsert ini atau tidak. Jika tidak, kami akan menggunakan khidmat orang lain.

“Sebelum ini kami ada memaklumkan kepada Yazit tentang konsert yang akan diadakan. Dia bersetuju dan ada mendoakan yang terbaik kepada kami untuk konsert ini nanti,” ujar Amy.

Dalam pada itu, saat ditebak dengan dakwaan mereka mengabaikan ahli kumpulan itu Yazit yang kini berada dalam keadaan kurang sihat, Search hanya mengambil pendekatan untuk tidak mahu terlalu memikirkan soal itu. Bagi mereka, selaku ahli kumpulan, mereka lebih tahu perkara sebenar.

“Bukannya kami tidak tahu tentang cerita tersebut (dakwaan mengabaikan Yazit). Bermula dari tahun lepas lagi sejak dia sakit, perkara sebegini sudah timbul. Masyarakat di luar menganggap kami mengabaikan Yazit.

“Ironinya, kami selalu menjenguk dia di hospital. Dua hari sebelum raya saya juga ada menziarahi dia di hospital. Bahkan, ketika dia sakit dan tidak dapat membuat persembahan bersama, wang yang diterima tetap dibahagi kepada lima secara adil.

“Jadi, di mana timbulnya soal kami mengabaikan dia? Kami tidak pernah melupakan dia apatah lagi mahu mengabaikannya kerana sampai bila-bila pun, Yazit tetap ahli kumpulan Search,” ujar pemain bass kumpulan itu, Nasir Daud.

– Kosmo!

(Foto: Utusan Malaysia)

Leave a comment

Your email address will not be published.


*


スーパーコピー財布 スーパーコピー時計 スーパーコピーブランド cheap valentino