Bersama Menteri Baru Majukan Industri Hiburan Tempatan

Salam Jumaat barakah!

Selamat datang kepada semua pengunjung Kafebuzz.my. Salam perkenalan daripada editor-in-chief, Kafebuzz.my.

Membawa tagline, portal hiburan komprehensif, Kafebuzz.my membawa liputan berita secara menyeluruh dari seluruh dunia merangkumi pelbagai cabang seni sama ada filem, muzik, teater dan selebriti.

Lazimnya, berita hiburan di akhbar, program televisyen dan portal sering memaparkan gosip sebagai tarikan dan subjek utama untuk disajikan kepada pembaca, Kafebuzz.my pula memberi fokus kepada perkembangan filem, drama, selebriti dari skop isu dan nilai berita berbeza.

Gosip bukan keutamaan tetapi memperjuangkan isu yang membelenggu warga seni tempatan perlu diberi perhatian sewajarnya agar industri hiburan kita mempunyai masa depan lebih cerah dan mampu menjana pendapatan lumayan pada semua yang terlibat.

Di kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan selamat bertugas kepada Datuk Seri Salleh Said Keruak (gambar) atas pelantikan sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia yang baru.

Pastinya, pelantikan beliau berikutan rombakan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini memberi suntikan dan nafas baru pada masa depan industri hiburan tanah air.

Salleh_2

Salleh yang pernah menjadi pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) pada tahun 2011 sudah tentu lebih memahami masalah industri hiburan khususnya membabitkan filem tempatan.

Mengapa kandungan filem tempatan tidak berkualiti dan gagal bersaing filem Hollywood atau kateogri filem asing negara lain yang bertanding pada acara anugerah berprestij seperti Oscar?

Andai FINAS mampu beri bajet berpuluh juta ringgit pada produser filem sekalipun, apakah kita mampu menjamin kandungan atau plot penceritaan serta penyampaiannya dapat memukau penonton tempatan mahupun antarabangsa?

Seperti mana kenyataan Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM), Jurey Latiff Rosli dilaporkan media baru-baru ini, Salleh lebih tahu usaha mahu menyelamatkan industri seni tempatan yang berada dalam keadaan tenat ketika ini selain membantu memenyelesaikan masalah yang dihadapi penggiat seni.

Banyak isu, perkara dan masalah dalam industri hiburan yang perlu diperhalusi dan paling penting, keputusan dibuat atas perbincangan dan maklum balas penggiat seni termasuk pihak media yang sebenarnya bertanggungjawab membawa acuan kepada pemikiran masyarakat sebagai pembaca.

Dalam usaha penggiat seni bersama kerajaan bersama membangunkan industri ini, jangan lupa peranan portal hiburan juga cukup penting dalam menyalurkan maklumat lebih pantas kepada orang ramai.

Seiring perkembangan teknologi dan gajet seperti telefon bimbit kepada telefon pintar, kerjasama kerajaan, persatuan hiburan, penggiat seni dan masyarakat bersama portal hiburan diharap dapat dieratkan lagi menerusi pertemuan empat mata.

Semoga masa depan industri hiburan bertambah baik dan meraih pencapaian memberangsangkan khusus di peringkat antarabangsa.

Mungkinkah kali ini kita berpeluang menyaksikan filem tempatan bersaing di Anugerah Oscar? jangan mimpi atau jangan putus asa…

– Editor-in-chief
(Kafebuzz.my)

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*